Jumaat, 11 Jun 2010

RMKe-10 diharap beri penekanan masalah sosial
2010/06/10

Usaha tingkat akhlak, moral rakyat penting capai Wawasan 2020

HARI ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh RMKe-10), suatu 'blue print' yang menggariskan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia tentunya akan menggariskan usaha pembangunan fizikal negara bagi memenuhi misi untuk melonjakkan kedudukan kita, yang sekarang ini seolah-olah tersekat di kelompok negara berpendapatan sederhana, kepada negara berpendapatan tinggi atau sebagai negara maju menjelang 2020.
Dalam keghairahan kita mencapai matlamat dituju dengan tumpuan diberikan kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan negara, apakah soal memupuk pegangan rohaniah mulia dengan memantapkan lagi akhlak dan moral rakyat khususnya di kalangan muda-mudi diabaikan?

Baik juga Najib dalam pembentangannya nanti akan menggariskan tiga komponen penting rancangan itu iaitu modal insan, modal swasta dan modal sosial. Diharapkan modal sosial ini akan memberi penekanan secukupnya terhadap usaha membendung pelbagai perlakuan yang dikatakan devian yang membawa kepada keruntuhan akhlak di kalangan sesetengah rakyat kita dewasa ini.

Tidak seperti Rancangan Malaysia Kesembilan sekarang yang hanya menumpukan penekanan kepada usaha pembangunan fizikal dengan tumpuan kepada lima terasnya iaitu meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi; menangani ketidaksamaan sosioekonomi kumpulan etnik dengan memberi penekanan kepada ‘pertumbuhan dengan pengagihan’; meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup, dan mengukuhkan keupayaan institusi serta pelaksanaan negara untuk pertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Jelas sekali rancangan kesembilan sekarang tidak menekankan program meningkatkan penerapan nilai rohani dalam kehidupan seharian rakyat. Apakah kurangnya tumpuan terhadap menerapkan nilai moral dan rohaniah murni ini yang membawa padah seperti yang sedang melanda masyarakat sekarang?
Usaha penekanan terhadap menerapkan nilai mulia di kalangan semua rakyat ini tentunya amat diperlukan memandangkan rakyat sendiri terikut arah pembangunan negara dengan begitu ghairah mahu mencapai kehidupan lebih selesa lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar.

Sememangnya, usaha mereka itu tidak salah, tetapi apakah tumpuan hanya kepada hasrat mencapai taraf hidup lebih selesa itu membawa mereka mengabaikan hubungan keluarga dan penyeliaan ke atas anak hingga membawa kepada keruntuhan akhlak?

Apakah kecuaian kita terhadap usaha meningkatkan pegangan kepada agama dan moral ini juga membawa padah hingga menimbulkan pelbagai masalah sosial yang kelihatan seperti semakin menjadi-jadi sekarang?

Maka, perangkaan diberikan seorang pensyarah Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Prof Madya Dr Fatimah Abdullah seperti dipaparkan Portal Berita UKM, amat mencemaskan.

Mengikut perangkaan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan lebih 257,000 sijil kelahiran yang tidak mencatatkan nama bapa dalam tempoh lapan tahun setengah dari 2000 hingga Julai 2008. Ini bermakna, secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau hampir 84 kes setiap hari.

Perangkaan diperoleh bagi 1999 hingga 2003 pula, daripada 70,430 anak luar nikah didaftarkan, yang beragama Islam mencatatkan angka terbanyak iaitu sejumlah 30,978 orang berbanding 18,085 Hindu, 17,236 Buddha dan 3,395 Kristian.

Baru-baru ini JPN menyatakan kes anak luar nikah didaftarkan, membabitkan Melayu juga menunjukkan peningkatan misalnya pada tahun lalu seramai 17,303 anak luar nikah Melayu, meningkat daripada 16,541 pada 2008 dan 16,100 pada 2007.

Mengenai kes pembuangan bayi pula, polis menyatakan terdapat 86.4 kes setahun antara 2001 hingga 2005 manakala mengikut catatan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada 506 kes pembuangan bayi sejak 2004 dengan jumlah terbesar 102 bayi dibuang pada 2008. Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatatkan sebanyak 21 kes pembuangan bayi dan jelas sekali kes ini semakin meningkat.

Maka itu bolehkah kita salahkan anggapan ramai terhadap gejala keruntuhan moral ini jika dilihat dari pelbagai kejadian tidak menyenangkan bahkan yang amat mengaibkan berterusan berlaku kalau dilihat daripada apa yang sering dipaparkan pada dada akhbar sekarang ini?

Jadi bagaimana kita boleh menerima berita apabila sampai 16 orang murid Tingkatan Tiga dan Enam di sebuah sekolah di Kuala Terengganu didapati hamil dengan empat daripada mereka melahirkan anak di luar nikah?

Yang peliknya, pengurusan sekolah tidak pula sedarkan hal itu hingga didedahkan oleh seorang murid ketika pelajar itu sudah pun sarat mengandung.

Dalam pada itu, timbul pula berita lebih 418,000 orang atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah sepanjang tahun lalu. Ini mengikut apa dinyatakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman.

Maknanya hampir setiap seorang daripada dua penjawat awam terbabit dengan gejala buruk ini. Perangkaan itu, kalau benar sungguh mencemaskan dan menunjukkan betapa teruknya perkhidmatan awam sekarang ini.

Walaupun ramai mengetahui bahawa kejadian rasuah memangnya berleluasa, tidak pula dapat membayangkan begini menularnya perlakuan terkutuk itu. Apakah semua kejadian ini tidak mencemaskan kita?

Yahudi banyak pengaruhi sosioekonomi, politik दुनिया

2010/06/09

SEJARAH kezaliman rejim Zionis tidak pernah luntur daripada catatan. Ketika dunia bersuara menentang kekejaman dan kerakusan rejim Zionis, negara Arab yang berada beberapa kilometer dari Israel mendiamkan diri. Mereka bagai tidak ada apa-apa ketika Turki, Malaysia, Iran dan Venezuela mengutuk tindakan ganas dan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertegas.

Aneh, negara Arab yang selama ini mendakwa sebagai paksi kekuatan Islam dan mempunyai sejarah akrab mengenai kelahiran nabi, rasul dan agama wahyu hanya mendiamkan diri.
Keadaan sama berlaku ketika penyembelihan di Sabra dan Shatila (Chatila) di Beirut, Lubnan pada September 1982. Tidak banyak negara Arab yang bertindak.
Dari segi angka, bangsa Yahudi hanya 14 juta di seluruh dunia, dengan tujuh juta di Amerika Syarikat, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap seorang Yahudi, ada 100 Muslim (1:100). Namun Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada umat Islam. Mengapa ini berlaku?

Tentunya penganalisis sejarah moden melihat kekuatan ilmu, perancangan dan kewangan sebagai sumber terunggul yang membantu Yahudi menguasai dunia. Malah, pemilihan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat juga dianggap sebagai kejayaan cemerlang pelobi Yahudi.

Beberapa keturunan Yahudi sudah dan sedang menguasai dunia dalam pelbagai bidang. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai ‘Manusia Abad ini’ ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud menerusi teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian. Johas Salk pencipta vaksin polio pertama. Albert Sabin membangunkan vaksin polio hidup yang lebih baik. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis.
Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts). Jenama mereka menjadi buruan dunia dan bayangkan berapa bilion keuntungan disalurkan ke Tel Aviv setiap bulan?

Richard Levin, presiden universiti tersohor (Universiti Yale) ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (semua bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas Pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Ronald Reagan, George Bush, Bill Clinton dan George W Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshall (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia);

Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Russia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara Britain); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Mereka pemain utama politik dunia dan bayangkan betapa negara Islam dan Arab menjadi bidak percaturan mereka. Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times). Merekalah yang menguasai pandangan dunia dan mencorakkan pemikiran sejagat.

Dalam bidang seni pula, pelakon Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk berbangsa Yahudi. Maka tidak hairanlah Hollywood sendiri pun diwujudkan oleh Yahudi.

Antara pengarah dan penerbit tersohor Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling, (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) dan Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya Yahudi. Merekalah yang turut mencorakkan pemikiran dan keseronokan di ruang tamu rumah kita.

Washington yang menjadi ibu negara Amerika Syarikat mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa dikenali Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan ‘membuat apa saja’ demi Israel.

William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik di dunia. Dia juga Yahudi. Dia juga yang banyak mendidik rejim Zionis bertindak seperti yang berlaku sekarang. Bayangkanlah betapa pemikiran Zionis banyak digerakkan oleh Yahudi dan sekutu mereka di seluruh dunia. Bayangkan, betapa hingga kini negara Arab tetap kalah di Asia Barat!

Kaum India pertaruh nasib kepada RMK-10
2010/06/09

MIC mesti kerja keras pastikan agenda pembangunan terlaksana

LEBIH dua juta masyarakat India di negara ini sekali menaruh harapan dan keyakinan tinggi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Parlimen esok. Dalam erti kata lain, mereka sebut 'Puthiya Nampikai', yang bermaksud 'harapan baru' dalam bahasa Tamil.
Begitulah senario yang dapat digambarkan di setiap wajah, hati dan perasaan masyarakat India setlepas beberapa rancangan Malaysia sebelum ini dikatakan tidak mencerminkan serta membawa aspirasi sebenar mereka sehingga munculnya suara yang lantang terhadap kerajaan.
Implikasinya, ramai pemimpin utama MIC tersungkur pada Pilihan Raya Umum 2008 sehingga menjejaskan nama baik parti itu. Malah Barisan Nasional pula kehilangan sokongan masyarakat India buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun sejarah negara. MIC pula terpaksa bekerja keras untuk terus menjadi sebuah parti politik yang relevan mewakili suara masyarakat India.

Banyak sudah diperkatakan, dibincangkan dan juga diperdebatkan mengenai RMK-10 ini khususnya dalam konteks hala tuju masa depan masyarakat India, selari dengan proses pembangunan negara menjelang 2020 nanti.

Sudah tentu isu sensasi seperti gaji pekerja ladang dan taraf kehidupan, biasiswa pendidikan, pembangunan sekolah Tamil, peluang pekerjaan, isu warga negara antara elemen yang sering kali menjadi tumpuan di media massa, akan menjadi perhatian. Isu itu amat dekat dengan masyarakat India sejak 50 tahun dulu.

MIC yang dekat dengan kerajaan sudah mengemukakan 12 cadangan mengenai ‘Agenda Untuk Pembangunan’ masyarakat India bagi dimasukkan dalam pelan RMK-10. Buat pertama kali segala cadangan itu, dirangka MIC dengan kerjasama 75 badan bukan kerajaan yang berasaskan kaum India dan Jabatan Pengajian Etnik Universiti Malaya.
Antara cadangannya, termasuk menangani masalah kemiskinan dan gejala sosial merangkumi mengenal pasti bilangan sebenar masyarakat India yang tidak memiliki sijil kelahiran, kad pengenalan dan menyelesaikan kes tertangguh.

Cadangan lain pula memantau bilangan kes jenayah di kalangan belia India dan mewujudkan satu strategi bersama MIC, PDRM, Yayasan Pencegahan Jenayah dan NGO bagi mengurangkan pembabitan mereka dalam jenayah, mengenal pasti semua kejiranan bandar yang mempunyai tumpuan masyarakat India selain menyediakan perumahan alternatif yang mampu dibeli golongan miskin bandar.

Turut dicadangkan, peluang pekerjaan dan penyertaan di dalam sektor awam supaya mencapai sasaran 7.4 peratus, mewujudkan lebih banyak peluang menyertai GLC, terutama dalam jawatan tinggi dan meningkatkan peluang kenaikan pangkat serta memperuntukkan 10 peratus daripada projek kepada usahawan serta kontraktor India.

Bilangan di kalangan masyarakat India dalam GLC kini hanya ada tujuh ahli Lembaga Pengarah keturunan India daripada 132 GLC sedia ada. Untuk bidang pendidikan pula MIC mencadangkan keperluan bantuan kewangan berterusan kepada sekolah Tamil merangkumi bantuan penuh dan modal termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas wakil MIC, komuniti, sekolah dan agensi kerajaan dan berkaitan untuk melaksanakan projek pembangunan sekolah Tamil khasnya bantuan modal.

Secara kesimpulannya, MIC turut mencadangkan pembentukan sebuah badan dinamakan sebagai Malaysia Indian Development Agency ( MINDA) yang dapat bergerak di bawah Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India.

Di satu sudut lain pula ramai berpandangan, konflik politik di kalangan masyarakat India akan mencecah paras yang cukup membimbangkan sekiranya mereka tidak mahu bersatu lagi demi masa depan agama dan bangsa mereka sendiri. Sampai bila mereka mahu bergelut antara satu sama lain di medan politik? Jangan jadi umpama ‘musuh dalam selimut’. Mereka perlu keluar daripada sindrom perpecahan ini sekiranya betul-betul serius mahu membantu masyarakat India.

Justeru, masyarakat India percaya faktor Najib akan berupaya mereformasikan taraf kehidupan dan juga masa depan mereka, selaras dengan gagasannya rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Dalam tempoh masa setahun menerajui kepemimpinan negara, Najib berjaya menambat hati masyarakat India dengan pendekatannya ‘PM untuk semua kaum’.

Kunjungan bersejarahnya ke Chennai, Batu Caves dan Brick-fields, serta ke majlis lain termasuk mendengar ‘suara hati rakyat’ meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang memahami kehendak, keinginan, harapan dan keperluan masyarakat India.

Keputusannya, memperuntukkan satu lagi jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada MIC dalam rombakan kabinet baru-baru ini, jelas menunjukkan keprihatinannya untuk menangani dilema masyarakat India di sektor perladangan, walaupun parti itu dilanda pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini.

Yang pasti RMK-10 ini diharap dapat memberi semangat dan iltizam baru ke arah pencapaian tiga peratus ekuiti masyarakat India daripada 1.5 peratus ketika ini. Ekuiti dan kepentingan masyarakat India perlu diberi keutamaan dan kepentingan kerana ia adalah aspek serta usaha untuk menegakkan hak semua rakyat 1Malaysia seperti dijamin dalam perlembagaan negara.

TPM II: Antara muslihat, retorik Anwar
2010/05/30

Jawatan dijanji Ketua Pembangkang sandiwara pilihan raya umum nanti

JIKA impian Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kenyataan, dua atau tiga tahun lagi negara kita akan mencipta sejarah baru mempunyai lebih daripada seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) andai pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan