TPM II: Antara muslihat, retorik Anwar
2010/05/30
Jawatan dijanji Ketua Pembangkang sandiwara pilihan raya umum nantiJIKA impian Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kenyataan, dua atau tiga tahun lagi negara kita akan mencipta sejarah baru mempunyai lebih daripada seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) andai pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan.
Sebenarnya, ia bukan perkara baru kerana jika ada yang masih ingat ketika isu pelan 16 September 2008 hangat diperkatakan, pernah menjadi bualan bahawa jawatan politik kedua tertinggi di Malaysia itu sudah pun dijanjikan Anwar kepada DAP, Pas serta satu lagi kepada wakil Sabah dan Sarawak – semuanya tiga TPM.
Ia diperkuatkan dengan alasan Anwar dalam wawancara dengan akhbar Cina berkenaan apabila berkata: “Jika ada yang lebih layak daripada dua orang atau pun ada keperluan dalam politik, saya anggap tidak salah jawatan Timbalan Perdana Menteri ada dua orang, sebaliknya ia lebih baik.”
Jika mahu mengambil kira Perlembagaan negara, tiada salahnya jika jawatan TPM atau PM sekali pun diisi bukan Melayu, tetapi sudah tercatat antara tanggungjawab PM ialah menjadi penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Perlu diingat, Yang di-Pertuan Agong ialah pemerintah tertinggi dalam Perlembagaan negara kita yang berperanan antara lain sebagai ketua agama Islam pada peringkat Persekutuan dan bagi negeri yang tidak beraja.
Apa akan berlaku jika wujud situasi, katakanlah apabila TPM II berbangsa Cina perlu memangku jawatan PM dan kebetulan pada masa sama, TPM I iaitu orang Melayu dan Islam juga tidak dapat memangku. Apakah logik TPM II menasihati Raja dalam hal-ehwal Islam dan adat istiadat Melayu?
Lalu tidak hairanlah, ramai yang menganggap janji Anwar untuk melantik pemimpin DAP sebagai TPM II mempunyai beberapa maksud tersirat dan tidak mustahil juga strategi berkenaan untuk menarik sokongan bukan Melayu kepada pakatan pembangkang.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman melihat janji pemimpin pembangkang itu sebagai strategi politik untuk mendapat dan memantapkan sokongan bukan Melayu kepada pakatan berkenaan yang mungkin sudah menunggu lama untuk melihat perubahan seperti itu.
“Saya juga melihat janji ini sebagai perang psikologi atau psy-war terhadap BN... (pembangkang) akan cuba mewujudkan rasa ‘gelabah’ pada pihak BN, kononnya mereka lebih mendekati pelbagai kaum dan sebagainya.
“Selain itu, Anwar mahu menunjukkan yang gabungan parti pembangkang pimpinannya mewakili kepentingan pelbagai kaum dan akan melakukan satu titik perubahan yang menolak atau beranjak daripada paradigma lama yang ada unsur Melayu dominan,” katanya.
Namun, Ahmad Nizamuddin lebih melihat janji berhubung jawatan TPM II kepada DAP itu tidak lebih daripada sekadar retorik politik semata-mata mahu meyakinkan dan mendapatkan undi pada pilihan raya umum nanti.
“Beliau (Anwar) mungkin lupa sudah terlalu banyak janji yang dibuatnya.
Apabila ke Sabah, beliau akan sesuaikan (janji) dengan orang Sabah, apabila bercakap dengan orang Cina lain pula janjinya. Itu semua strategi politik,” katanya.
Beliau tidak menafikan janji yang ditabur Ketua Pembangkang itu boleh mempengaruhi kelompok rakyat tertentu, tetapi pada masa sama, akan mewujudkan kesangsian pada kelompok rakyat lain yang masih mahu berpegang pada paradigma lama berhubung kedudukan jawatan PM dan TPM.
“Bagi saya, ada dua kemungkinan kesan daripada janji Anwar itu... mungkin lebih ramai bukan Melayu, terutama Cina akan menyokong pembangkang dan kedua, mungkin ramai pula orang Melayu yang selama ini menyokong pembangkang atau bersikap neutral akan lari (kepada BN),” katanya.
Bagi Profesor Politik Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak, apa saja perubahan yang ingin dilakukan dalam aspek kepemimpinan kerajaan perlulah dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan negara dan menggambarkan hasrat serta aspirasi seluruh rakyat.
“Apa yang dibuat mesti memenuhi aspirasi seluruh rakyat dan kepentingan negara, bukannya nak penuhi agenda dan kepentingan satu-satu pihak saja,” katanya sambil menambah pemegang jawatan PM dan TPM Malaysia selama ini berjaya berkhidmat untuk semua kaum, walaupun berbangsa Melayu.
“Jika ada TPM untuk satu-satu kaum... tak betullah. Apakah dengan ada ramai TPM itu baik untuk Malaysia yang hanya sebuah negara kecil. Indonesia lagi besar dan rakyatnya lagi ramai... Amerika Syarikat dan Britain pun sama, tetapi negara itu dan hampir semua negara di dunia hanya ada seorang TPM atau Naib Presiden.
“Jika kita ada TPM mewakili orang Melayu, Cina dan India... PM nak buat apa? Kita sepatutnya ketepikan soal etnik dalam masa memilih pemimpin. Jika terlalu menonjolkan sangat soal ini, ia tidak akan menyatukan rakyat, sebaliknya akan lebih memecah-belahkan,” katanya.
Sambil menyifatkan janji Anwar itu semata-mata untuk mendapatkan sokongan komuniti tertentu demi mencapai cita-cita politiknya, beliau berkata, mempunyai dua atau tiga TPM adalah langkah yang mengundur, seolah-olah menggambarkan etnik tertentu di negara ini tidak lagi selamat.
“Sedangkan sistem sedia ada (seorang PM dan TPM) yang sudah diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu tidak memberikan sebarang masalah,” katanya.
Penganalisis politik, Prof Dr Shamsuddin Abdul Rahman, pula menimbulkan persoalan sama ada jumlah TPM yang ramai akan melicinkan pentadbiran kerajaan dan sama ada ia sesuai dengan amalan biasa mengikut Perlembagaan negara.
“Apakah fungsi setiap TPM itu nanti... (Anwar) kena jelaskan dulu apa tujuan beliau mahu mewujudkan jawatan TPM II itu... apa motifnya?” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan